Sunday, June 8, 2014

Pensyarah Berkualiti.....Menurut Hemat Saya

I came across this article thru one of my emails few years back. The first time I read this article, it gave me great inspiration about be a lecturer and what as academicians we should do. Its very inspiring as she described that the great teachers inspire the students while the mediocre teachers tell the students. What a great different and its all come in yourself to change. Since the implementation of OBE at university levels, nothing much could be said on the change of mind-sets among our academic friends at universities villages. How inspiring if this could be as what it is written. May Allah swt bless us to be as such. Pls read:


Prof. Madya Dr. Aminah Ayob ialah Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Bidang kepakaran beliau ialah Pendidikan Sains dalam pengkhususan Kaedah Mengajar Biologi dengan tumpuan khusus pada Strategi Pembelajaran Koperatif, Piaget dan Perkembangan Intelek Kanak- kanak. Beliau telah menghasilkan banyak penulisan berasaskan penyelidikan yang tersiar dalam jurnal tempatan dan luar negara. Dalam kegiatan ikhtisas, beliau merupakan Presiden, Persatuan Sains dan Matematik, Pulau Pinang, dan Naib Presiden, Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia (MERA).
            Dalam isu pertama Diges Pendidik ini saya diberi penghormatan untuk melahirkan pandangan saya tentang isu- isu dalam pendidikan. Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menyerlahkan pandangan saya tentang peranan dan tanggungjawab pensyarah untuk direnungkan bersama. Saya tujukan rencana ini khas untuk pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia khususnya, dan secara am kepada semua pendidik negara.
            Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada sidang pengarang Diges Pendidik yang berjaya menerbitkan keluaran pertamanya. Di samping menjalankan berbagai- bagai tugas dan memikul tanggungjawab berat di pusat pengajian, mereka telah berjaya membuktikan kemampuan untuk menghasilkan sebuah majalah yang diharap menjadi saluran bagi menyebarkan ilmu dan wahana untuk mengembangkan potensi penulisan dalam kalangan staf akademik pusat pengajian, dan warga pendidik yang lain. Kelahiran majalah ini seharusnya dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan dalam perkembangan budaya ilmu dan penyebaran ilmu pengetahuan dalam lingkungan warga pendidik. Syabas!

Pendidik Cemerlang
            Saya dedikasikan penulisan ini kepada semua pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang menjalankan setiap tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, beriltizam dan cemerlang. Mereka merupakan staf akademik yang mempunyai minat yang tinggi terhadap potensi pelajar dan sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meninggikan mutu pengajaran masing- masing. Sebagai pensyarah yang berjiwa besar, mereka berusaha untuk menjayakan hasrat bagi melahirkan pendidik cemerlang yang bakal mengharumkan nama bangsa dan negara. Pusat pengajian ini amat beruntung kerana mempunyai staf akademik yang menunjukkan ciri profesional ketika melaksanakan tugas, dan mengamalkan sifat saling menghormati rakan dalam profesion, umpama sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
            Bekas Dekan pusat pengajian ini, YTM Pror. Dato’ Dr. Tunku Ismail Md. Jewa pernah berkata, “One great teacher can make a profound influence on our lives, and it is our responsiblilities here at PPIP to produce such teachers”. Memang benar kata beliau, iaitu menjadi tanggungjawab setiap staf pendidik di pusat pengajian ini untuk melahirkan pendidik cemerlang yang mampu menghasilkan anak didik terbilang yang bakal memimpin bangsa dan negara. Rencana ini harus dapat mencetus inspirasi kecemerlangan kepada semua pendidik, sama ada di sekolah atau universiti, kerana kita ialah guru yang berjiwa pendidik.

Tunduk Hormat Kepada Guru
            Guru yang berinspirasi ialah guru yang memahami psikologi, berteraskan ilmu, yakin dan memiliki jati diri. Guru yang berjaya mempunyai sifat penyayang dan bertimbang rasa. Mereka umpama pelukis yang cintakan keindahan dan kelembutan warna. Kecintaan mereka ditumpukan untuk melahirkan karya peribadi melalui sentuhan halus dan indah. Mereka mempunyai tujuan yang jelas. Kadangkala lagaknya serius, namun mereka senang dengan apa yang terhasil … lukisan.
            Guru yang agung umpama pelakon; sentiasa tahu apakah peranannya di atas pentas; tahu bagaimana beraksi; dan berkeyakinan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Demikian juga, “The best teachers, like the best leaders, they have an uncanny ability to step outside themselves and become liberating forces in our lives”. Guru yang agung memudahcarakan perkembangan potensi insan dalam diri pelajarnya, bukan setakat mengajar. Seperti kata cendekiawan, “A teacher’s major contribution sometimes is not the subject taught but the model caught”. Guru ialah model bagi pelajarnya. Guru sebagai acuan, jika cantik acuan, maka cantiklah kuihnya dan sebaliknya. Seperti kata peribahasa Melayu, “Jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari”, “Jika lurus pemidang, luruslah pedang”. Hendaknya teladan buruk ini tidak ditunjukkan di universiti atau di sekolah sehingga menjadi ikutan pelajar. Oleh itu, guru dan pensyarah mestilah sentiasa sedar dan berhati- hati dengan segala tindak- tanduk masing- masing.
            Setengah- setengah perkara memang dapat diajarkan, tetapi ada perkara yang mesti dipelajari melalui pengalaman. Mengajar pada peringkat universiti ialah kualiti yang mesti dipelajari dan kualiti ini tidak wujud secara semula jadi. Belajar untuk jadi pensyarah yang baik ialah satu tugas yang mesti dilaksanakan di sepanjang kerjaya, kerana “A great teacher is never a finished product but rather is always in the process of becoming”. Saya tidak mempunyai formula untuk mendefinisi pengajaran berkesan, tetapi Eble (1983) telah menyenaraikan tujuh dosa yang sering dilakukan oleh pensyarah universiti, iaitu “arrogance, dullness, rigidity, insensitivity, vanity, self-indulgence, and hypocrisy”. Baginya, untuk menjadi pensyarah yang berkesan, kita mesti mempunyai kualiti sebaliknya, iaitu “humality, enthusiasm, flexibility, sensitivity, compassion, discipline, and commitment”.

Pensyarah Yang berkualiti
            Menurut hemat saya, pensyarah yang berkualiti adalah seperti berikut:
Merupakan sarjana dalam subjek yang diajarkan
            Pensyarah yang berkualiti mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam subjek yang diajarkan. Ini merupakan kriteria pertama bagi seorang pensyarah – bukan saja dia mesti tahu subjeknya, tetapi “… to be exceptionally knowledgeable in the subject area”. Tanggungjawab ini tidak pernah selesai kerana perkembangan maklumat tidak pernah berhenti. Pengetahuan pensyarah haruslah sentiasa terkini. Seseorang pensyarah haruslah selesa dengan topik yang hendak diajarkannya dan boleh dianggap sarjana dalam bidang tersebut. Kriteria lain tidak dapat mengganti kualiti seorang pensyarah, walaupun dia mempunyai kebolehan- kebolehan atau daya penarik lain yang lebih hebat. Dia tidak mampu menjadi pensyarah yang berkesan tanpa pengetahuan yang mendalam dalam subjek yang diajarkan.
            Pelajar berharap pensyarah dapat menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat dalam buku- buku rujukan, menunjukkan isi- isi penting dan maklumat- maklumat asas. Penguasaan pengetahuan tentang subjek yang diajarkan tidak memadai, sebaliknya pensyarah yang berkesan mempunyai kebolehan menyusun bahan- bahan pengajarannya supaya mudah difahami.
            Ketika mengajar, penting bagi kita mengingatkan diri bahawa pelajar prasiswazah berbeza daripada pelajar siswazah. Pensyarah yang baik menunjukkan sifat- sifat cintakan ilmu dalam bidangnya, sangat ‘enthusiastic’ dengan perkara yang diajarkan dan bersemangat mengajar sehingga dapat dikesan oleh pelajar. “A teacher can fool his colleagues or even his boss, but he never fool his students. They know when he loves his subject and when he does not” (Van Doren, 1964). Apa yang menyentuh perasaan dan imaginasi pelajar- pelajar ialah “a professor’s personal devotion to learning and truth”, kata Von Doren lagi.
            Cubalah hayatilah kata- kata hikmat yang berikut:
            “ The mediocre teacher tells.
            The good teacher explains.
            The superior teacher demonstrates.
            And the great teacher inspires.”
            Jika kita dapat mengambil teladan daripada kata- kata hikmat tersebut, maka setiap orang akan menginsafi tentang apa yang telah dilakukan di dalam bilik- bilik kuliah dan tutorial selama ini.
Merancang pengajarannya
            Profesor Ungku Aziz, ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaya dianggap sebagai “a gifted teacher-scholar”. Beliau memulakan kursusnya dengan berbincang dengan pelajarnya tentang sukatan pelajaran dan rangka khusus yang akan diajarkan, menyenaraikan soalan- soalan yang akan ditanya dalam kuliah- kuliah beliau dan bahan- bahan bacaan yang perlu dibaca dan digunakan oleh pelajar dalam tugasan dan projek mereka. Seseorang pensyarah perlu membuat penyusunan yang teliti sebelum semester bermula. Walaupun profesor Ungku Aziz merupakan sarjana dan pakar dalam bidangnya, iaitu ekonomi, dia tidak akan dapat menyampaikan ilmunya dengan sempurna tanpa membuat persediaan. Kadangkala dia tidak dapat turun ke tahap kebolehan pelajar. Oleh itu, setiap pensyarah perlu merancang dan menyediakan kuliah dan tugasan dengan baik. Ini bukan pula bererti kuliah atau tugasan itu mesti tersusun sehingga tidak boleh diubah sama sekali kerana sifat keterlaluan dalam mengorganisasi kuliah juga boleh menimbulkan masalah. Keadaan ini menjadikan pensyarah bersifat “authoritarian” dan “doctrinaire” yang membantutkan cabaran untuk pelajar berfikir dan melahirkan idea.
Menyampaikan pelajaran dengan jelas
            Pensyarah yang baik dapat mengemukakan contoh- contoh yang konkrit bagi konsep- konsep yang diajarkan dan menggunakan metafora atau parabel untuk menambah pemahaman pelajar. Pensyarah yang efektif menyusun konsep- konsep yang diajarkan dalam bentuk peta konsep yang mudah difahami hubungannya antara satu sama lain, mendefinisikan konsep dengan jelas, menjawab pertanyaan pelajar dengan lengkap, dan tidak mengelirukan pelajar dengan jargon dan istilah yang sukar. Pensyarah yang baik menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantuan mengajar untuk menambah kejelasan subjek yang dimaksudkan. Walau sebijak manapun seorang profesor itu, dia tidak dapat diterima oleh pelajar jika dia tidak dapat menyampaikan kuliahnya dengan jelas dan dapat difahami.
Mengenali pelajarnya
            Pensyarah yang baik memahami keperluan pelajarnya dan melayan pelajarnya dengan mesra. “Students understandably yearn to be treated as human beings instead of product. How could they possibly like it when a stuffy, formal, pretentious professor lectures on and on, wholly indifferent to them?” Sebab itulah syarat pertama dalam ‘public speaking’ ialah “know the audience”.
            Jika kelas yang diajar adalah kecil, maka wajar bagi pensyarah mengenali setiap nama pelajarnya. Pensyarah juga perlu menggalakkan pelajarnya saling mengenali antara satu sama lain. Saya selalu memulakan tutorial dengan menyuruh pelajar mencari pasangan atau berada dalam kumpulan kecil untuk menemu bual satu sama lain tentang aspek- aspek bidang pengajian, minat akademik, latar belakang tempat asal, ekspektasi dalam kursus yang diikuti dan seumpamanya supaya mereka dapat berkenalan antara satu sama lain. Dengan itu, pelajar- pelajar mendapati diri mereka tidak terasing di dalam kelas saya, sementara perasaan malu atau segan dapat dikikis kerana mereka sudah saling mengenal dan bersedia untuk berbincang. Kelas tutorial saya biasanya disusun dalam bentuk yang membolehkan interaksi bersemuka. Penyertaan setiap individu dalam aktiviti di dalam kelas saya sangat penting.
            Di universiti negara- negara barat, pensyarahnya biasa makan bersama pelajar dan bergaul dikafeteria tanpa berasa ada jurang perbezaan antara mereka. Budaya ini jarang diamalkan dalam kalangan pensyarah di Malaysia. Sungguhpun ada kemungkinan berlaku interaksi demikian, saya percaya interaksi ini terbatas dengan pelajar- pelajar pasca siswazah sahaja. Renunglah kata- kata ini, “… contacts between professors and their students outside of the classroom are important, because they reveal something to the student about reality that can be learned no other way. Such contacts demonstrate that ideas are “embodied”, they do not exist apart from a person… .” (Smith, 1990, hlm. 217).
            Kebiasaannya pelajar tidak menghubungi pensyarahnya selepas waktu pejabat, kecuali terdesak. Mereka mungkin bimbang tindakan ini dianggap mengganggu atau dipandang serong dan sebagainya. Pensyarah pula mungkin berasa janggal untuk mengadakan perhubungan yang rapat dengan pelajar kerana bimbangkan kemungkinan pembabitan emosi dalam perhubungan berkenaan. Namun, pensyarah yang baik perlu mengenali pelajarnya sebagai individu.
            Jika kita fikirkan sejenak kita akan sedar bahawa setiap pelajar menghadapi banyak masalah dan cabaran. Mereka mesti fikirkan masalah mendapatkan tempat tinggal di desasiswa, wang yang cukup untuk belanja, masalah keluarga dan harapan ibu bapa, masalah dengan rakan sebilik, teman dalam kumpulan projek, masalah bercinta, masalah persatuan, masalah itu dan ini, di samping cuba untuk belajar 25 hingga 30 jam seminggu. Oleh itu, satu cara meringankan beban pelajar ialah dengan mengenali dan memahami jiwa dan masalah mereka, bersimpati serta ada rasa “compassion” terhadap pelajar. Inilah ciri- ciri pensyarah yang sebenar.
Merupakan pendengar yang baik
            Pensyarah yang baik lebih banyak mendengar. Dengan sabar dia mendengar komen pelajar walaupun kadangkala jawapannya tidak tepat atau bahasanya tidak teratur. “Compulsive lecturer” pula hanya ingin menyampaikan maklumat dan tidak senang dengan tindakan pelajarnya mencelah ketika dia mengajar. Saya percaya setiap pensyarah perlu melatih diri untuk  mendengar dengan teliti dan sabar, bukan hanya untuk 2 – 3 saat, tetapi antara 20 – 30 saat, untuk mendapat tindak balas daripada pelajar selepas mengemukakan soalan. Pakar pendidik menamakan tempoh ini sebagai “masa tunggu” kerana pelajar biasanya memerlukan soalan dan berfikir sejenak sebelum menjawab.
            Menurut Rogers (1961), “when we listen with understanding, we see the expressed idea and attitude from the other person’s point of view, we sense how it feels to him, and we reach his frame of reference in regard to the things he is talking about!”
Menjadi mentor
            Seorang pensyarah yang bijak dan sensitif sentiasa berusaha menjadikan suasana pembelajaran selesa kepada pelajar, tidak menjatuhkan air muka pelajar, dan tidak menghina dan merendah-rendahkan pelajar. Perkara ini memang tidak harus berlaku atau diterima dalam komuniti pengajian tinggi. Pensyarah juga perlu menghormati pelajar dan sebaliknya. Kita tidak boleh memaksa pelajar menghormati diri kita jika kita sendiri tidak menunjukkan kualiti-kualiti yang patut dihormati. Dalam pembelajaran di universiti, pensyarah merupakan mentor. Mereka perlu membimbing pelajar untuk membina ilmu dan cara-cara berfikir yang matang dan profesional yang dapat diikuti oleh pelajar. Pensyarah yang baik kerap kali dijadikan ‘role-model’ oleh pelajar.
            Tetapi, ada pensyarah yang sebaliknya pula menjadi ‘reverse mentor’. Mereka masuk ke kelas, terus memulakan syarahan, menulis pada papan tulis sambil bercakap membelakangi pelajar dan sekali sekala berkata ‘okay’, ‘faham’, dan terus menulis sehinggalah kuliah berakhir. Ada yang terus membaca bahan yang tertulis di atas transparensi tanpa berhenti sejenak untuk melihat reaksi pelajar. Pelajar pula hanya menyalin semula yang tertulis pada papan tulis atau transparensi dengan harapan akan membaca dan memahaminya kemudian. Apa yang disalin, jika tidak kerana peperiksaan mungkin tidak akan dibaca oleh pelajar kerana mereka tidak dapat memahaminya. Pensyarah begini adalah mentor yang buruk, dibenci dan tidak disukai oleh pelajar. Maka mereka menjadi teladan yang tidak baik kepada pelajar – tidak bersifat sebagai seorang intelek yang berilmu dan dapat dicontohi.
Merangsang minda pelajar
            Penyediaan suasana kuliah yang positif oleh pensyarah dapat merangsang minda pelajar, di samping memberikan keyakinan diri setelah menyedari potensi yang ada dalam diri masing-masing. Pensyarah yang bijak dapat menunjukkan bukan sahaja apa yang perlu dipelajari, tetapi cara dan proses pembelajaran. Pensyarah perlu membetulkan kesilapan pemahaman pelajar. Ketika memeriksa kerja pelajar, pensyarah perlu memberikan maklum balas tentang kesilapan pelajar supaya mereka mengetahui kesilapan khusus yang dilakukan dan dapat membetulkannya.
            Umumnya kita berasa lebih selesa mengajar pelajar yang pintar. Sebaliknya, mengajar pelajar lemah memerlukan banyak usaha dan kesungguhan daripada pensyarah. Kerapkali pelajar-pelajar lemah dianggap malas, tidak berminat terhadap pelajaran dan lemah. Cabaran sebenar bagi pensyarah ialah untuk mengajar pelajar-pelajar ini kerana pensyarah yang berkesan dapat membuktikan hasil kerjanya berdasarkan kemajuan yang dicapai oleh pelajar berkenaan.
Menyedari gaya pembelajaran pelajar
            Pensyarah yang baik dapat mengenal pasti gaya pembelajaran pelajarnya. Setiap individu pensyarah mempunyai ideosinkrisi dan gaya mengajar sendiri. Pelajar juga mempunyai gaya belajar yang berbeza mengikut individu. Ada yang belajar dengan mudah melalui kemahiran mendengar, ada yang memahami dengan cepat melalui kemahiran melihat, dan ada pula yang belajar melalui aktiviti praktikal untuk menguasai pelajaran. Demikian itu, setiap pensyarah perlulah mengetahui gaya belajar pelajar dan menggunakan strategi mengajar yang sesuai dan pelbagai untuk menyampaikan pelajaran.
Menggalakkan penglibatan dan mencabar pemikiran pelajar
            Pensyarah yang baik sentiasa mencari jalan supaya pelajarnya terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajarannya. Smith (1990) berkata “I came away from my years of teaching on the college and university level with a conviction that enactment, performance, dramatization are the most successful forms of teaching. Student must be incorporated, made, so far as possible, an integral part of the learning process”. Dia menggunakan pepatah lama iaitu: “I hear and I forget, I see and I remember, I do and I understand’. Penglibatan pelajar dalam pembelajaran sangat penting. Sudahkah kita memberikan peluang itu kepada pelajar? Selama bertahun-tahun kita percaya pelajar hanya perlu menerima apa sahaja yang kita sampaikan. Pernahkah kita mengajak pelajar untuk berbahas tentang sesuatu isu yang berkaitan dengan subjek yang diajarkan, berdrama untuk mengaplikasikan pengetahuan dan berdialog untuk mempertahankan hujah-hujahnya? Pernahkah pelajar dipertanggungjawabkan untuk menyelidik dan mencari maklumat sendiri? Solan-soalan ini menunjukkan kita perlu menginovasi kaedah pengajaran agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mencabar.
            Ada perbezaan yang sangat ketara antara pensyarah universiti tempatan dengan rakan mereka di barat. Di barat, pensyarah mempunyai kepercayaan bahawa pelajar perlu berusaha sendiri untuk mencari maklumat dan menyelesai masalah yang dirancangkan untuk mempertingkatkan kemahiran belajar secara berdikari. Pensyarah mengemukakan soalan-soalan peringkat tinggi untuk mencabar pemikiran pelajar dan sentiasa bersedia untuk berhujah dengan pelajar tentang pelajaran. Umumnya pensyarah universiti tempatan berkecenderungan “menyuap maklumat ke mulut pelajar”. Saya tidak pasti sebanyak mana maklumat dapat disampaikan kepada pelajar melalui pendekatan tersebut. Sungguhpun maklumat dapat disampaikan, persoalannya ialah adakah pendekatan yang digunakan itu dapat membantu pelajar mengetahui kemahiran menimba ilmu?
Menulis jurnal khusus
            Sebagai pensyarah, adakah kita menulis jurnal atau diari bagi kursus yang dikendalikan? Tujuan penulisan jurnal adalah untuk mengumpul komen dan reaksi pelajar tentang aktiviti kuliah, tutorial, projek dan perbincangan yang diadakan dalam kursus berkenaan. Cara ini membolehkan pensyarah mendapat maklum balas tentang semua aspek pengajarannya daripada pelajar, termasuklah pelajar yang malu bercakap di dalam kelas.
            Dalam majalah Newsweek, 1990 (hlm. 64) dilaporkan tentang seorang profesor bernama Marvin Druger, di University of Syracuse yang mengajarkan kursus “Innovative Introductory Biology” kepada 1000 orang pelajar dengan menggunakan pita video dan buku kerja, selain teknik syarahan. Dalam kuliahnya, dia meniru lagak Charles Darwin dan mengemukakan senario alam sekitar yang dia lihat di sepanjang perjalanannya melalui rakaman video. Oleh kerana kelasnya mempunyai bilangan pelajar yang terlalu besar, dia telah membuat keputusan untuk menggunakan newsletter yang diterbitkan tiap-tiap minggu supaya pelajar-pelajarnya dapat menulis idea-idea daripada  bahan rujukan yang diwajibkan. Bagi menggalakkan pelajar terus berusaha, buah fikiran, pandangan dan kritikan pelajar dalam newsletter itu dijadikan bahan yang dipertandingkan. Idea yang terbaik diberikan markah tertinggi. Selain itu, dia juga memberikan markah tambahan kepada pelajar yang hadir untuk mendengar siri syarahan pada waktu sebelah malam (“Frontier of Science lecture Series”), iaitu forum untuk ahli sains di universitinya. Melalui penggunaan ‘close-circuit TV’ yang dikendalikan sendiri oleh pelajarnya, dia mengulang tayang rakaman untuk memberikan jawapan bagi ujian / kuiz kursusnya.
            Druger percaya sesuatu kursus itu perlulah bermakna (meaningful), dapat merangsang minat pelajar untuk mengikutinya, diperibadikan (personalized), dapat meluaskan pengetahuan, dan memberikan pengalaman yang berkesan kepada pelajar. Yang penting baginya ialah, “to provide in-depth exposure that shows students how interesting and exciting science is, so that they want to go and learn it themselves”.
Mempunyai rangakaian / hubungan dengan orang-orang yang signifikan kepada pelajar
            Pensyarah yang baik membina rangkaian hubungan dengan kolaborator lain seperti pensyarah kursus lain, perpustakawan, juruteknik dan orang lain yang kadang-kadang diperlukan untuk membantu pelajar dalam pelajaran dan projeknya. Orang ini terlibat dalam pembelajaran pelajar dan mereka mungkin dapat membantu pelajar berkenaan belajar dengan lebih berkesan. Demikian juga halnya dengan orang-orang yang boleh menjadi penceramah jemputan bagi kursusnya. Semua ini akan membantu atau merangsangkan pembelajaran pelajar dan menjadikan kursus itu lebih menarik.
            Ketika menghadiri satu persidangan, saya mendapat tahu bahawa University of Texas, Austin, Amerika Syarikat menjalankan exit poll yang melibatkan pelajar tahun akhir. Pelajar-pelajar berkenaan diminta untuk menuliskan nama tiga orang pensyarah yang paling baik atau berkesan di sepanjang tempoh mereka belajar di universiti tersebut. Maklumat daripada exit poll itu kemudiannya digunakan dalam urusan kenaikan pangkat atau gaji pensyarah. Manakala di Harvard University pula, pelajarnya membuat penilaian dengan menulis maklumat-maklumat sulit tentang sesuatu kursus dan pensyarahnya. Hasil daripada maklum balas ini menyebabkan ramai profesor terpaksa mereka bentuk semula atau melakukan rombakan terhadap kursus masing-masing. Beberapa buah universiti lain meminta pensyarah-pensyarah menyediakan portfolio pengajaran untuk tujuan kenaikan pangkat dan gaji. Semua tindakan ini bertujuan untuk memastikan kualiti pengajaran yang tinggi di universiti dipertahankan.
Mempunyai minat yang mendalam
            Pensyarah yang berkesan juga perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang atau kursus yang diajarkannya. Mereka perlu mempunyai pengetahuan yang melampaui bidang penyelidikan atau pengkhususan masing-masing. Sebagai pencinta ilmu, pensyarah perlu banyak membaca, dan melibatkan diri dalam wacana intelektual dan majlis-majlis ilmu. Adakah kita termasuk dalam kalangan akademik tersebut? Setiap pensyarah harus mempunyai jawapan sendiri bagi persoalan ini.

Menjalankan penyelidikan
            Bagi pensyarah universiti, menjalankan penyelidikan merupakan satu daripada tugas utama. Dengan menjalankan penyelidikan, pensyarah dapat mengemas kini ilmu masing-masing dan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan akademia. Penyelidikan juga merupakan cara terbaik untuk melawan fenomena burnt-out. Melalui persidangan atau seminar yang dihadiri, pensyarah dapat berkongsi hasil penyelidikannya dengan rakan-rakan daripada bidang yang sama dan berpeluang mengikuti perkembangan terbaharu yang merangsang diri masing-masing untuk melakukan penyelidikan seterusnya. Tanpa kegiatan penyelidikan atau penyertaan pada persidangan atau seminar akademik, akan menjadikan seseorang pensyarah itu tertimbus dan tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia tidak mengetahui tentang perrkembangan yang berlaku di luar dunia kecilnya.
            Penyelidikan mengambil banyak masa pensyarah, selain tugas mengajar, memeriksa skrip, dan membimbing pelajar. Tetapi jika kita dapat mengimbangi tugas penyelidikan dan pengajaran, keuntungannya besar sekali kerana “scholarship and research not only freshen and enliven the substance of teaching but also set an example of the enquiring mind” (Cronin, 1999, hlm. 16).
Memiliki kebolehan berjenaka
            Pensyarah yang baik menjalankan tugasnya dengan serius, tetapi jenaka adalah baik untuk menghidupkan suasana ikram ketika pengajaran dan perbincangan. Ramai pensyarah melaksanakan tugas pengajaran dengan begitu serius sehingga suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi sangat formal. Suasana pengajaran dan pembelajaran patut diceriakan dengan kebolehan pensyarah menyisipkan unsur jenaka dalam penyampaiannya, di samping keriangan dan senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya. Jika pensyarah itu berpendapat tugas pengajaran di universiti tidak menggembirakan, wajar baginya mengambil cuti rehat (sabatikal) dan menggunakan masa berkenaan untuk merenung tentang apa yang telah berlaku dan memutuskan apa yang terbaik bagi dirinya.
Memiliki kebolehan menilai pelajar
            Pensyarah yang baik menyediakan soalan-soalan peperiksaan dan tugasan yang menggalakkan pemikiran pelajar. Open-book exam merupakan satu cara yang mencabar minda pelajar. Perancangan dan pelaksanaannya mungkin agak sukar, tetapi hasilnya paling baik untuk pelajar. Pelajar universiti sebenarnya mempunyai kebolehan dan keupayaan yang melebihi jangkaan kita. Yang penting ialah pensyarah mesti percaya bahawa pelajar mampu menghadapi cabaran-cabaran minda yang kita berikan. Ini merupakan cara terbaik untuk menghasilkan siswazah yang berkualiti dan yang sesuai untuk menghadapi era k-ekonomi. Peperiksaan lisan juga merupakan satu cara lagi untuk menguji kebolehan pelajar mengemukakan idea, tetapi jarang digunakan di universiti ini. Sebenarnya, kepelbagaian teknik penilaian dapat mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan dalam kursus-kursus di universiti, di samping dapat memperkayakan kualiti siswazah yang dihasilkan.
            Daripada laporan yang dibuat oleh Cronin (1999), seorang pensyarah di Duke University, iaitu Bruce Payne telah menggunakan kaedah yang unik untuk menilai pelajarnya. Pada awal semester dia memberitahu pelajarnya bahawa peperiksaan akhir bagi kursusnya akan diadakan pada tiap-tiap minggu, bukan pada akhir kursus. Pada setiap hari Isnin dia memberikan sebanyak 15 soalan yang mencakupi bacaan bagi tajuk-tajuk yang akan diajarkan pada minggu akan datang. Kemudian pada hari jumaat dia memulakan kelas dengan mengemukakan soalan esei untuk dijawab dalam tempoh 15 hingga 20 minit tentang topik yang telah dibincangkan dalam kuliah pada hari Isnin. Pelajar perlu sentiasa bersedia dan memberikan tumpuan penuh pada pembelajaran dalam kursusnya. Esei yang ditulis oleh pelajar ini ialah peperiksaan akhir bagi kursus Payne. Bolehkah kita mencuba idea ini? Mampukah kita merancang kursus sehingga kita pasti dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar kita?

Penutup
            Sebagai penutup, saya akhiri penulisan saya ini dengan menyatakan bahawa pensyarah agung ialah pensyarah yang cintakan ilmu, khususnya ilmu dalam subjek pengkhususannya. Dia menyampaikan ilmunya dengan penuh minat dan bersemangat, sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan merasa bertuah kerana dapat mengajar di universiti. Pensyarah agung melihat pengajaran sebagai satu tanggungjawab, bukan sekadar tugas atau jawatan. Jawatankuasa Perancangan Akademik USM sejak beberapa tahun dahulu cuba mencari jalan bagaimana menilai dan mengukur pengajaran yang baik. Kita masih kabur tentang kriteria pengajaran yang baik. Dapatkah kita mendefinisi ‘pengajaran yang baik dan berkesan’? Adakah penunjuk-penunjuk khusus untuk merumuskan apakah pengajaran yang baik? Namun, kita sedar bahawa untuk mengajar dengan baik di universiti, seseorang itu perlu mempunyai komitmen yang tinggi, berdedikasi dan sentiasa didorong oleh keinginan yang berterusan untuk menyebarkan ilmu kepada pelajar. Penyebaran ilmu pada peringkat ini tidak seharusnya berlaku dengan “menyuap”  segala-galanya ke mulut pelajar, tetapi memerlukan penggunaan kemahiran belajar yang berkesan. Demikian itu, pensyarah perlulah membuat persediaan yang teliti, menyediakan perancangan yang tersusun serta menggunakan strategi yang inovatif bagi meransang minda pelajar untuk menimba ilmu. Bagi membolehkan mereka menimba ilmu secara berdikari dan berkesan, pelajar perlu dilatih dengan kecekapan mencari ilmu dan menggunakannya.
            Pengajaran yang berkualiti sangat penting di universiti. Pensyarah baik patut mendapat anugerah atau hadiah. Pengajaran yang berkualiti turut memerlukan sistem sokongan yang cekap. Pengurusan universiti perlu mensyaratkan kemahiran mengajar sebagai kriteria penting dalam pengambilan pensyarah-pensyarah baru. Sepatutnya tiada tolak ansur tentangnya kerana kualiti ini tidak wujud dengan sendiri. Pensyarah-pensyarah baru perlu diberikan pendedahan tentang perkaedahan pengajaran kursusnya. Universiti yang mengutamakan pengajaran berkesan ialah universiti yang dapat menyuburkan penghayatan ilmu yang disebarkannya.
            Akhir kata, “Great teaching never just happens”. Pencapaian matlamat ini memerlukan pengorbanan, komitmen dan penilaian berterusan untuk penambahbaikan dan peningkatan, baik bagi diri pensyarah sendiri, mahupun bagi universiti yang tercinta ini.

RUJUKAN

Cronin, T.E.     (1999).   Excellence In Teaching.          Whiteman College webpage.
Eble, K.E.   (1983).     The Aims of College Teaching. San Fransisco: Jossey-Bass
Leslie, C.   (1990).   A Class of Freshmen That May Last A Lifetime.  Newsweek, April, hlm.          64.
Smith, P.   (1990.   Killing The Spirit: Higher Education In America.   New York: Viking
Rogers, C.R.  (1961).  On Becoming A Person. Boston: Houghton Mifflin
Van Doren, M. (1964). The Good Teacher. Dalam College and University Teaching, H.A.    Estrin & D.M. Goode (eds.). Dubuque. IA.




1 comment:

  1. Casino & Resort Southfield - Goyang FC
    Casino & 마라톤 벳 Resort Southfield offers gambling 라이브 스코어 entertainment on the Mississippi Gulf Coast. Enjoy the casino with 피망 포커 다운 tons of slots, 해외 토토 배당 poker, bingo, 위닉스사이트

    ReplyDelete