Secara
peribadinya juga, saya berpegang bahawa falsafah pengajaran itu wajib
membabitkan keikhlasan dan kemuliaan diri kita sebagai pendidik kepada anak
bangsa serta demi masa depan negara tanpa mengira siapa mereka. Secara
prinsipnya sebagai pendidik kita menjalankan tugas ini semata-mata atas niat
kerana agama, bangsa dan negara tanpa memikirkan ganjaran diutamakan.
Sewajarnya, orang-orang seperti kita, baik sebagai guru tadika hingga ke
pensyarah universiti, mampu mengubah pendidikan negara. Seterusnya orang-orang
seperti kita juga yang akan membuka lembaran terbaru dalam dunia pengajaran
untuk pelajar-pelajar kita yang disayangi, menjadikan mereka insan yang lebih
baik dan mulia daripada yang lain dengan ilmu yang diajarkan. Allah swt menjadi
saksi di atas segala yang saya sampaikan ini dengan rasa penuh keinsafan,
tanggungjawap dan komitmen tinggi untuk melihat kejayaan setiap pelajar saya
berjaya dalam hidup mereka berbekalkan ilmu yang diberikan. Ukuran kejayaan
saya sebagai pendidik adalah berdasarkan kejayaan hidup mereka dengan ilmu yang
dicurahkan. Insyallah.
Mengimbau
kembali bagaimana pendidikan diberikan kepada pelajar-pelajar kita di peringkat
universiti selama ini, ia sentiasa mengenangkan saya akan jerih-perihnya untuk
belajar demi menggenggam segulung ijazah di zaman ketika saya belajar dulu.
Bagaimana saya merasai sendiri dan melihat kesusahan yang dihadapi oleh ramai
teman-teman, yang ada antara keluarga mereka itu terpaksa bergadai-bergolok
menjual tanah atau sanggup meminjam wang demi menampung anak-anak mereka di
menara gading. Segalanya memberi keinsafan yang tak dapat digambarkan dan
bagaimana ia terbayar melihat keseronokan ketika konvokesyen yang meraikan
kejayaan kami pada masa itu. Segala jerih-perih dan penat-lelah belajar
memberikan kami harapan menggunung untuk berjaya dalam kerjaya dengan harapan
untuk membantu adik-adik kami serta generasi akan datang bahawa pendidikan itu
tidak mengenal batas usia, darah keturunan, agama dan darjat seseorang. Ilmu
itu patut dituntut dengan sepenuh hati dan wajib diperolehi dengan komitmen
yang tinggi. Jangan sekali-kali kita lalai dan membuang masa tidak mengaji
ketika di kampus kerana ilmu yang dituntut itu tidak datang menggolek ibaratkan
jatuhnya buah kelapa dari pokoknya yang tinggi. Dari situlah bermulanya titik
permulaan falsafah pengajaran peribadi yang saya terapkan kepada sesiapa. Ilmu
itu untuk semua dan ia mesti diperolehi dengan cara yang betul serta
kesungguhan.
Kini
setelah hampir 30 tahun tamat pengajian di universiti, tiba masanya saya
mencurahkan bakti atau pay back
kepada anak bangsa generasi sekarang. Semoga mereka juga mengikuti jejak
langkah kami yang sekian lamanya merantau dan bekerja dalam pelbagai bidang
sebagai profesional dengan mengecapi kejayaan masing-masing. Sebagai warga
akademik di universiti terkenal utara tanahair ini, saya berjanji mencurahkan
segala ilmu yang ada demi memberikan kesempurnaan dalam pendidikan negara
kepada anak bangsa saya. Tidak ada janji ilmu itu tidak boleh diberi atau hanya
sebahagiannya kerana ilmu itu dari Allah swt dan dari Allah swt juga ilmu itu
boleh diambilNya pada bila-bila masa. Bersyukurlah dengan ilmu dan pengalaman
yang ada dalam diri saya. Atas nikmat kesyukuran itulah saya berjanji tidak
akan jemu dan lalai mendidik anak-anak bangsa Malaysia atau luar negara tanpa
mengira siapa mereka itu baik di segi agama, bangsa, darjat maupun usia
mereka. Semuanya adalah sama dan saksama
tanpa sebarang perasaan berat sebelah. Begitu juga demi menjunjung falsafah
pendidikan negara yang maukan kita melahirkan lebih ramai pelajar unversiti
bermentalitikan kelas pertama. Insyallah saya usahakan juga walau sesusah mana
sekali pun. Semua ini diaplikasikan dalam setiap pengajaran kuliah yang dipertanggungjawapkan kepada saya tanpa
mengira siapa pelajar saya dan sabjek mana yang diajar.
Kesimpulannya,
saya sentiasa memegang kepada falsafah pengajaran peribadi yang sentiasa
mengutamakan keadaan kebajikan pelajar kita kerana kejayaan sesuatu universiti
itu bergantung kepada kejayaan produk yang dihasilkan – iaitu para siswazah.
Kita sudah melihat banyak dan pelbagai perubahan yang ada dalam diri pelajar
hingga kini sejak negara mencapai kemerdekaan.
Pengalaman saya sendiri menyaksikan betapa masa begitu cepat memamah
usia kita untuk dibandingkan dengan keupayaan dan kecerdikan mereka yang penuh
berinovasi dan celik Information
Technology and Communication (ITC). Betapa sensitiviti mereka juga berubah
berbanding di zaman kita. Justeru itu, saya ingin mengigatkan diri saya sendiri
dan rakan-rakan seperjuangan mengenai pelajar-pelajar universiti sekarang, yang
nasihatnya datang daripada bekas pensyarah saya yang budiman, Profesor Dr
Bokhari Ismail dari UiTM, apabila saya meminta nasihatnya sebelum mengambil
keputusan untuk terjun menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi
awam.
Beliau
berkata: “Budak-budak sekarang ni tidak seperti zaman awak dan rakan-rakan
lain. Zaman awak tuu dan sebelumnya boleh hidup walau dihutan mana pun kami
campakkan. Tetapi budak-budak sekarang ni lain perangai mereka. Awak kena
SAYANG mereka. Cara macam mana lembut atau keras sekalipun tapi awak mesti
SAYANG mereka. Tak perlu cakap awak SAYANG mereka kerana itu rahsia antara awak
dan Allah swt. Cukup sekadar mereka tau awak memang SAYANG kat mereka.” Nasihat yang mengharukan saya tetapi penuh
inspirasi. Saya akan sentiasa mengigati nasihat ini seumur hidup dan
menjadikannya sebagai falsafah pendidikan peribadi utama hingga ke akhir hayat.
Insyallah. Amin.
No comments:
Post a Comment