I came across this article thru one of my emails few years back. The first time I read this article, it gave me great inspiration about be a lecturer and what as academicians we should do. Its very inspiring as she described that the great teachers inspire the students while the mediocre teachers tell the students. What a great different and its all come in yourself to change. Since the implementation of OBE at university levels, nothing much could be said on the change of mind-sets among our academic friends at universities villages. How inspiring if this could be as what it is written. May Allah swt bless us to be as such. Pls read:
Prof. Madya Dr.
Aminah Ayob ialah Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang. Bidang kepakaran beliau ialah Pendidikan Sains dalam pengkhususan
Kaedah Mengajar Biologi dengan tumpuan khusus pada Strategi Pembelajaran
Koperatif, Piaget dan Perkembangan Intelek Kanak- kanak. Beliau telah
menghasilkan banyak penulisan berasaskan penyelidikan yang tersiar dalam jurnal
tempatan dan luar negara. Dalam kegiatan ikhtisas, beliau merupakan Presiden,
Persatuan Sains dan Matematik, Pulau Pinang, dan Naib Presiden, Persatuan
Penyelidikan Pendidikan Malaysia (MERA).
Dalam isu pertama Diges Pendidik ini
saya diberi penghormatan untuk melahirkan pandangan saya tentang isu- isu dalam
pendidikan. Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menyerlahkan pandangan
saya tentang peranan dan tanggungjawab pensyarah untuk direnungkan bersama.
Saya tujukan rencana ini khas untuk pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu
Pendidikan, Universiti Sains Malaysia
khususnya, dan secara am kepada semua pendidik negara.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan
setinggi- tinggi tahniah kepada sidang pengarang Diges Pendidik yang berjaya
menerbitkan keluaran pertamanya. Di samping menjalankan berbagai- bagai tugas
dan memikul tanggungjawab berat di pusat pengajian, mereka telah berjaya
membuktikan kemampuan untuk menghasilkan sebuah majalah yang diharap menjadi
saluran bagi menyebarkan ilmu dan wahana untuk mengembangkan potensi penulisan
dalam kalangan staf akademik pusat pengajian, dan warga pendidik yang lain.
Kelahiran majalah ini seharusnya dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan
dalam perkembangan budaya ilmu dan penyebaran ilmu pengetahuan dalam lingkungan
warga pendidik. Syabas!
Pendidik Cemerlang
Saya dedikasikan penulisan ini
kepada semua pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang menjalankan
setiap tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, beriltizam dan cemerlang.
Mereka merupakan staf akademik yang mempunyai minat yang tinggi terhadap
potensi pelajar dan sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meninggikan mutu
pengajaran masing- masing. Sebagai pensyarah yang berjiwa besar, mereka
berusaha untuk menjayakan hasrat bagi melahirkan pendidik cemerlang yang bakal
mengharumkan nama bangsa dan negara. Pusat pengajian ini amat beruntung kerana
mempunyai staf akademik yang menunjukkan ciri profesional ketika melaksanakan
tugas, dan mengamalkan sifat saling menghormati rakan dalam profesion, umpama
sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
Bekas Dekan pusat pengajian ini, YTM
Pror. Dato’ Dr. Tunku Ismail Md. Jewa pernah berkata, “One great teacher can make a profound influence on our lives, and it
is our responsiblilities here at PPIP to produce such teachers”. Memang
benar kata beliau, iaitu menjadi tanggungjawab setiap staf pendidik di pusat
pengajian ini untuk melahirkan pendidik cemerlang yang mampu menghasilkan anak
didik terbilang yang bakal memimpin bangsa dan negara. Rencana ini harus dapat
mencetus inspirasi kecemerlangan kepada semua pendidik, sama ada di sekolah
atau universiti, kerana kita ialah guru
yang berjiwa pendidik.
Tunduk Hormat Kepada Guru
Guru yang berinspirasi ialah guru
yang memahami psikologi, berteraskan ilmu, yakin dan memiliki jati diri. Guru
yang berjaya mempunyai sifat penyayang dan bertimbang rasa. Mereka umpama
pelukis yang cintakan keindahan dan kelembutan warna. Kecintaan mereka
ditumpukan untuk melahirkan karya peribadi melalui sentuhan halus dan indah.
Mereka mempunyai tujuan yang jelas. Kadangkala lagaknya serius, namun mereka senang
dengan apa yang terhasil … lukisan.
Guru yang agung umpama pelakon;
sentiasa tahu apakah peranannya di atas pentas; tahu bagaimana beraksi; dan
berkeyakinan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Demikian juga, “The best teachers, like the best leaders,
they have an uncanny ability to step outside themselves and become liberating
forces in our lives”. Guru yang agung memudahcarakan perkembangan potensi
insan dalam diri pelajarnya, bukan setakat mengajar. Seperti kata cendekiawan, “A teacher’s major contribution sometimes
is not the subject taught but the model caught”. Guru ialah model bagi
pelajarnya. Guru sebagai acuan, jika cantik acuan, maka cantiklah kuihnya dan
sebaliknya. Seperti kata peribahasa Melayu, “Jika guru kencing berdiri, murid
kencing berlari”, “Jika lurus pemidang, luruslah pedang”. Hendaknya teladan
buruk ini tidak ditunjukkan di universiti atau di sekolah sehingga menjadi
ikutan pelajar. Oleh itu, guru dan pensyarah mestilah sentiasa sedar dan
berhati- hati dengan segala tindak- tanduk masing- masing.
Setengah- setengah perkara memang
dapat diajarkan, tetapi ada perkara yang mesti dipelajari melalui pengalaman.
Mengajar pada peringkat universiti ialah kualiti
yang mesti dipelajari dan kualiti ini tidak wujud secara semula jadi. Belajar
untuk jadi pensyarah yang baik ialah satu tugas yang mesti dilaksanakan di
sepanjang kerjaya, kerana “A great
teacher is never a finished product but rather is always in the process of
becoming”. Saya tidak mempunyai formula untuk mendefinisi pengajaran
berkesan, tetapi Eble (1983) telah menyenaraikan tujuh dosa yang sering
dilakukan oleh pensyarah universiti, iaitu “arrogance,
dullness, rigidity, insensitivity, vanity, self-indulgence, and hypocrisy”. Baginya,
untuk menjadi pensyarah yang berkesan, kita mesti mempunyai kualiti sebaliknya,
iaitu “humality, enthusiasm, flexibility,
sensitivity, compassion, discipline, and commitment”.
Pensyarah Yang berkualiti
Menurut hemat saya, pensyarah yang
berkualiti adalah seperti berikut:
Merupakan sarjana dalam subjek yang diajarkan
Pensyarah yang berkualiti mempunyai
pengetahuan yang mendalam dalam subjek yang diajarkan. Ini merupakan kriteria
pertama bagi seorang pensyarah – bukan saja dia mesti tahu subjeknya, tetapi “… to be exceptionally knowledgeable in the
subject area”. Tanggungjawab ini tidak pernah selesai kerana perkembangan
maklumat tidak pernah berhenti. Pengetahuan pensyarah haruslah sentiasa
terkini. Seseorang pensyarah haruslah selesa dengan topik yang hendak
diajarkannya dan boleh dianggap sarjana dalam bidang tersebut. Kriteria lain
tidak dapat mengganti kualiti seorang pensyarah, walaupun dia mempunyai
kebolehan- kebolehan atau daya penarik lain yang lebih hebat. Dia tidak mampu
menjadi pensyarah yang berkesan tanpa pengetahuan yang mendalam dalam subjek
yang diajarkan.
Pelajar berharap pensyarah dapat
menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat dalam buku- buku rujukan,
menunjukkan isi- isi penting dan maklumat- maklumat asas. Penguasaan
pengetahuan tentang subjek yang diajarkan tidak memadai, sebaliknya pensyarah
yang berkesan mempunyai kebolehan menyusun bahan- bahan pengajarannya supaya
mudah difahami.
Ketika mengajar, penting bagi kita
mengingatkan diri bahawa pelajar prasiswazah berbeza daripada pelajar siswazah.
Pensyarah yang baik menunjukkan sifat- sifat cintakan ilmu dalam bidangnya,
sangat ‘enthusiastic’ dengan perkara
yang diajarkan dan bersemangat mengajar sehingga dapat dikesan oleh pelajar. “A teacher can fool his colleagues or even
his boss, but he never fool his students. They know when he loves his subject
and when he does not” (Van Doren, 1964). Apa yang menyentuh perasaan dan
imaginasi pelajar- pelajar ialah “a
professor’s personal devotion to learning and truth”, kata Von Doren lagi.
Cubalah hayatilah kata- kata hikmat
yang berikut:
“
The mediocre teacher tells.
The
good teacher explains.
The
superior teacher demonstrates.
And
the great teacher inspires.”
Jika kita dapat mengambil teladan
daripada kata- kata hikmat tersebut, maka setiap orang akan menginsafi tentang
apa yang telah dilakukan di dalam bilik- bilik kuliah dan tutorial selama ini.
Merancang pengajarannya
Profesor Ungku Aziz, ketika menjadi
pensyarah di Universiti Malaya dianggap
sebagai “a gifted teacher-scholar”.
Beliau memulakan kursusnya dengan berbincang dengan pelajarnya tentang sukatan
pelajaran dan rangka khusus yang akan diajarkan, menyenaraikan soalan- soalan
yang akan ditanya dalam kuliah- kuliah beliau dan bahan- bahan bacaan yang
perlu dibaca dan digunakan oleh pelajar dalam tugasan dan projek mereka.
Seseorang pensyarah perlu membuat penyusunan yang teliti sebelum semester
bermula. Walaupun profesor Ungku Aziz merupakan sarjana dan pakar dalam
bidangnya, iaitu ekonomi, dia tidak akan dapat menyampaikan ilmunya dengan
sempurna tanpa membuat persediaan. Kadangkala dia tidak dapat turun ke tahap
kebolehan pelajar. Oleh itu, setiap pensyarah perlu merancang dan menyediakan
kuliah dan tugasan dengan baik. Ini bukan pula bererti kuliah atau tugasan itu
mesti tersusun sehingga tidak boleh diubah sama sekali kerana sifat keterlaluan
dalam mengorganisasi kuliah juga boleh menimbulkan masalah. Keadaan ini
menjadikan pensyarah bersifat “authoritarian”
dan “doctrinaire” yang
membantutkan cabaran untuk pelajar berfikir dan melahirkan idea.
Menyampaikan pelajaran dengan jelas
Pensyarah yang baik dapat
mengemukakan contoh- contoh yang konkrit bagi konsep- konsep yang diajarkan dan
menggunakan metafora atau parabel untuk menambah pemahaman pelajar. Pensyarah
yang efektif menyusun konsep- konsep yang diajarkan dalam bentuk peta konsep
yang mudah difahami hubungannya antara satu sama lain, mendefinisikan konsep
dengan jelas, menjawab pertanyaan pelajar dengan lengkap, dan tidak
mengelirukan pelajar dengan jargon dan istilah yang sukar. Pensyarah yang baik
menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantuan mengajar untuk menambah
kejelasan subjek yang dimaksudkan. Walau sebijak manapun seorang profesor itu,
dia tidak dapat diterima oleh pelajar jika dia tidak dapat menyampaikan
kuliahnya dengan jelas dan dapat difahami.
Mengenali pelajarnya
Pensyarah yang baik memahami
keperluan pelajarnya dan melayan pelajarnya dengan mesra. “Students understandably yearn to be treated as human beings instead of
product. How could they possibly like it when a stuffy, formal, pretentious
professor lectures on and on, wholly indifferent to them?” Sebab itulah
syarat pertama dalam ‘public speaking’
ialah “know the audience”.
Jika kelas yang diajar adalah kecil,
maka wajar bagi pensyarah mengenali setiap nama pelajarnya. Pensyarah juga
perlu menggalakkan pelajarnya saling mengenali antara satu sama lain. Saya
selalu memulakan tutorial dengan menyuruh pelajar mencari pasangan atau berada
dalam kumpulan kecil untuk menemu bual satu sama lain tentang aspek- aspek
bidang pengajian, minat akademik, latar belakang tempat asal, ekspektasi dalam
kursus yang diikuti dan seumpamanya supaya mereka dapat berkenalan antara satu
sama lain. Dengan itu, pelajar- pelajar mendapati diri mereka tidak terasing di
dalam kelas saya, sementara perasaan malu atau segan dapat dikikis kerana
mereka sudah saling mengenal dan bersedia untuk berbincang. Kelas tutorial saya
biasanya disusun dalam bentuk yang membolehkan interaksi bersemuka. Penyertaan
setiap individu dalam aktiviti di dalam kelas saya sangat penting.
Di universiti negara- negara barat,
pensyarahnya biasa makan bersama pelajar dan bergaul dikafeteria tanpa berasa
ada jurang perbezaan antara mereka. Budaya ini jarang diamalkan dalam kalangan
pensyarah di Malaysia.
Sungguhpun ada kemungkinan berlaku interaksi demikian, saya percaya interaksi
ini terbatas dengan pelajar- pelajar pasca siswazah sahaja. Renunglah kata-
kata ini, “… contacts between professors
and their students outside of the classroom are important, because they reveal
something to the student about reality that can be learned no other way. Such
contacts demonstrate that ideas are “embodied”, they do not exist apart from a
person… .” (Smith, 1990, hlm. 217).
Kebiasaannya pelajar tidak
menghubungi pensyarahnya selepas waktu pejabat, kecuali terdesak. Mereka
mungkin bimbang tindakan ini dianggap mengganggu atau dipandang serong dan
sebagainya. Pensyarah pula mungkin berasa janggal untuk mengadakan perhubungan
yang rapat dengan pelajar kerana bimbangkan kemungkinan pembabitan emosi dalam
perhubungan berkenaan. Namun, pensyarah yang baik perlu mengenali pelajarnya
sebagai individu.
Jika kita fikirkan sejenak kita akan
sedar bahawa setiap pelajar menghadapi banyak masalah dan cabaran. Mereka mesti
fikirkan masalah mendapatkan tempat tinggal di desasiswa, wang yang cukup untuk
belanja, masalah keluarga dan harapan ibu bapa, masalah dengan rakan sebilik,
teman dalam kumpulan projek, masalah bercinta, masalah persatuan, masalah itu
dan ini, di samping cuba untuk belajar 25 hingga 30 jam seminggu. Oleh itu,
satu cara meringankan beban pelajar ialah dengan mengenali dan memahami jiwa
dan masalah mereka, bersimpati serta ada rasa “compassion” terhadap pelajar. Inilah ciri- ciri pensyarah yang
sebenar.
Merupakan pendengar yang baik
Pensyarah yang baik lebih banyak
mendengar. Dengan sabar dia mendengar komen pelajar walaupun kadangkala
jawapannya tidak tepat atau bahasanya tidak teratur. “Compulsive lecturer” pula hanya ingin menyampaikan maklumat dan
tidak senang dengan tindakan pelajarnya mencelah ketika dia mengajar. Saya
percaya setiap pensyarah perlu melatih diri untuk mendengar dengan teliti dan sabar, bukan
hanya untuk 2 – 3 saat, tetapi antara 20 – 30 saat, untuk mendapat tindak balas
daripada pelajar selepas mengemukakan soalan. Pakar pendidik menamakan tempoh
ini sebagai “masa tunggu” kerana pelajar biasanya memerlukan soalan dan
berfikir sejenak sebelum menjawab.
Menurut Rogers (1961), “when we listen with understanding, we see
the expressed idea and attitude from the other person’s point of view, we sense
how it feels to him, and we reach his frame of reference in regard to the
things he is talking about!”
Menjadi mentor
Seorang
pensyarah yang bijak dan sensitif sentiasa berusaha menjadikan suasana
pembelajaran selesa kepada pelajar, tidak menjatuhkan air muka pelajar, dan
tidak menghina dan merendah-rendahkan pelajar. Perkara ini memang tidak harus
berlaku atau diterima dalam komuniti pengajian tinggi. Pensyarah juga perlu
menghormati pelajar dan sebaliknya. Kita tidak boleh memaksa pelajar
menghormati diri kita jika kita sendiri tidak menunjukkan kualiti-kualiti yang
patut dihormati. Dalam pembelajaran di universiti, pensyarah merupakan mentor.
Mereka perlu membimbing pelajar untuk membina ilmu dan cara-cara berfikir yang
matang dan profesional yang dapat diikuti oleh pelajar. Pensyarah yang baik
kerap kali dijadikan ‘role-model’ oleh
pelajar.
Tetapi, ada pensyarah yang
sebaliknya pula menjadi ‘reverse mentor’.
Mereka masuk ke kelas, terus memulakan syarahan, menulis pada papan tulis sambil
bercakap membelakangi pelajar dan sekali sekala berkata ‘okay’, ‘faham’, dan terus menulis sehinggalah kuliah berakhir. Ada yang terus membaca
bahan yang tertulis di atas transparensi tanpa berhenti sejenak untuk melihat
reaksi pelajar. Pelajar pula hanya menyalin semula yang tertulis pada papan
tulis atau transparensi dengan harapan akan membaca dan memahaminya kemudian.
Apa yang disalin, jika tidak kerana peperiksaan mungkin tidak akan dibaca oleh
pelajar kerana mereka tidak dapat memahaminya. Pensyarah begini adalah mentor
yang buruk, dibenci dan tidak disukai oleh pelajar. Maka mereka menjadi teladan
yang tidak baik kepada pelajar – tidak bersifat sebagai seorang intelek yang
berilmu dan dapat dicontohi.
Merangsang minda pelajar
Penyediaan suasana kuliah yang
positif oleh pensyarah dapat merangsang minda pelajar, di samping memberikan
keyakinan diri setelah menyedari potensi yang ada dalam diri masing-masing.
Pensyarah yang bijak dapat menunjukkan bukan sahaja apa yang perlu dipelajari,
tetapi cara dan proses pembelajaran. Pensyarah perlu membetulkan kesilapan
pemahaman pelajar. Ketika memeriksa kerja pelajar, pensyarah perlu memberikan
maklum balas tentang kesilapan pelajar supaya mereka mengetahui kesilapan
khusus yang dilakukan dan dapat membetulkannya.
Umumnya kita berasa lebih selesa
mengajar pelajar yang pintar. Sebaliknya, mengajar pelajar lemah memerlukan
banyak usaha dan kesungguhan daripada pensyarah. Kerapkali pelajar-pelajar
lemah dianggap malas, tidak berminat terhadap pelajaran dan lemah. Cabaran
sebenar bagi pensyarah ialah untuk mengajar pelajar-pelajar ini kerana
pensyarah yang berkesan dapat membuktikan hasil kerjanya berdasarkan kemajuan
yang dicapai oleh pelajar berkenaan.
Menyedari gaya pembelajaran pelajar
Pensyarah yang baik dapat mengenal
pasti gaya
pembelajaran pelajarnya. Setiap individu pensyarah mempunyai ideosinkrisi dan gaya mengajar sendiri.
Pelajar juga mempunyai gaya
belajar yang berbeza mengikut individu. Ada
yang belajar dengan mudah melalui kemahiran mendengar, ada yang memahami dengan
cepat melalui kemahiran melihat, dan ada pula yang belajar melalui aktiviti
praktikal untuk menguasai pelajaran. Demikian itu, setiap pensyarah perlulah
mengetahui gaya
belajar pelajar dan menggunakan strategi mengajar yang sesuai dan pelbagai
untuk menyampaikan pelajaran.
Menggalakkan penglibatan dan
mencabar pemikiran pelajar
Pensyarah yang baik sentiasa mencari
jalan supaya pelajarnya terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajarannya.
Smith (1990) berkata “I came away from my
years of teaching on the college and university level with a conviction that
enactment, performance, dramatization are the most successful forms of
teaching. Student must be incorporated, made, so far as possible, an integral
part of the learning process”. Dia menggunakan pepatah lama iaitu: “I hear and I forget, I see and I remember,
I do and I understand’. Penglibatan pelajar dalam pembelajaran sangat
penting. Sudahkah kita memberikan peluang itu kepada pelajar? Selama
bertahun-tahun kita percaya pelajar hanya perlu menerima apa sahaja yang kita
sampaikan. Pernahkah kita mengajak pelajar untuk berbahas tentang sesuatu isu
yang berkaitan dengan subjek yang diajarkan, berdrama untuk mengaplikasikan
pengetahuan dan berdialog untuk mempertahankan hujah-hujahnya? Pernahkah
pelajar dipertanggungjawabkan untuk menyelidik dan mencari maklumat sendiri?
Solan-soalan ini menunjukkan kita perlu menginovasi kaedah pengajaran agar
proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mencabar.
Ada perbezaan yang sangat ketara antara
pensyarah universiti tempatan dengan rakan mereka di barat. Di barat, pensyarah
mempunyai kepercayaan bahawa pelajar perlu berusaha sendiri untuk mencari
maklumat dan menyelesai masalah yang dirancangkan untuk mempertingkatkan
kemahiran belajar secara berdikari. Pensyarah mengemukakan soalan-soalan
peringkat tinggi untuk mencabar pemikiran pelajar dan sentiasa bersedia untuk
berhujah dengan pelajar tentang pelajaran. Umumnya pensyarah universiti tempatan
berkecenderungan “menyuap maklumat ke mulut pelajar”. Saya tidak pasti sebanyak
mana maklumat dapat disampaikan kepada pelajar melalui pendekatan tersebut.
Sungguhpun maklumat dapat disampaikan, persoalannya ialah adakah pendekatan
yang digunakan itu dapat membantu pelajar mengetahui kemahiran menimba ilmu?
Menulis jurnal khusus
Sebagai pensyarah, adakah kita
menulis jurnal atau diari bagi kursus yang dikendalikan? Tujuan penulisan
jurnal adalah untuk mengumpul komen dan reaksi pelajar tentang aktiviti kuliah,
tutorial, projek dan perbincangan yang diadakan dalam kursus berkenaan. Cara
ini membolehkan pensyarah mendapat maklum balas tentang semua aspek
pengajarannya daripada pelajar, termasuklah pelajar yang malu bercakap di dalam
kelas.
Dalam majalah Newsweek, 1990 (hlm. 64) dilaporkan tentang seorang profesor
bernama Marvin Druger, di University of
Syracuse yang mengajarkan kursus “Innovative
Introductory Biology” kepada 1000 orang pelajar dengan menggunakan pita
video dan buku kerja, selain teknik syarahan. Dalam kuliahnya, dia meniru lagak
Charles Darwin dan mengemukakan senario alam sekitar yang dia lihat di
sepanjang perjalanannya melalui rakaman video. Oleh kerana kelasnya mempunyai
bilangan pelajar yang terlalu besar, dia telah membuat keputusan untuk
menggunakan newsletter yang
diterbitkan tiap-tiap minggu supaya pelajar-pelajarnya dapat menulis idea-idea
daripada bahan rujukan yang diwajibkan.
Bagi menggalakkan pelajar terus berusaha, buah fikiran, pandangan dan kritikan
pelajar dalam newsletter itu
dijadikan bahan yang dipertandingkan. Idea yang terbaik diberikan markah
tertinggi. Selain itu, dia juga memberikan markah tambahan kepada pelajar yang
hadir untuk mendengar siri syarahan pada waktu sebelah malam (“Frontier of Science lecture Series”),
iaitu forum untuk ahli sains di universitinya. Melalui penggunaan ‘close-circuit TV’ yang dikendalikan
sendiri oleh pelajarnya, dia mengulang tayang rakaman untuk memberikan jawapan
bagi ujian / kuiz kursusnya.
Druger percaya sesuatu kursus itu
perlulah bermakna (meaningful), dapat
merangsang minat pelajar untuk mengikutinya, diperibadikan (personalized), dapat meluaskan pengetahuan, dan memberikan
pengalaman yang berkesan kepada pelajar. Yang penting baginya ialah, “to provide in-depth exposure that shows
students how interesting and exciting science is, so that they want to go and
learn it themselves”.
Mempunyai rangakaian / hubungan
dengan orang-orang yang signifikan kepada pelajar
Pensyarah yang baik membina
rangkaian hubungan dengan kolaborator lain seperti pensyarah kursus lain,
perpustakawan, juruteknik dan orang lain yang kadang-kadang diperlukan untuk
membantu pelajar dalam pelajaran dan projeknya. Orang ini terlibat dalam
pembelajaran pelajar dan mereka mungkin dapat membantu pelajar berkenaan
belajar dengan lebih berkesan. Demikian juga halnya dengan orang-orang yang
boleh menjadi penceramah jemputan bagi kursusnya. Semua ini akan membantu atau
merangsangkan pembelajaran pelajar dan menjadikan kursus itu lebih menarik.
Ketika menghadiri satu persidangan,
saya mendapat tahu bahawa University of
Texas, Austin, Amerika Syarikat menjalankan exit poll yang melibatkan pelajar tahun akhir. Pelajar-pelajar
berkenaan diminta untuk menuliskan nama tiga orang pensyarah yang paling baik
atau berkesan di sepanjang tempoh mereka belajar di universiti tersebut. Maklumat
daripada exit poll itu kemudiannya
digunakan dalam urusan kenaikan pangkat atau gaji pensyarah. Manakala di Harvard University
pula, pelajarnya membuat penilaian dengan menulis maklumat-maklumat sulit
tentang sesuatu kursus dan pensyarahnya. Hasil daripada maklum balas ini
menyebabkan ramai profesor terpaksa mereka bentuk semula atau melakukan
rombakan terhadap kursus masing-masing. Beberapa buah universiti lain meminta
pensyarah-pensyarah menyediakan portfolio pengajaran untuk tujuan kenaikan
pangkat dan gaji. Semua tindakan ini bertujuan untuk memastikan kualiti
pengajaran yang tinggi di universiti dipertahankan.
Mempunyai minat yang mendalam
Pensyarah yang berkesan juga perlu
mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang atau kursus yang diajarkannya.
Mereka perlu mempunyai pengetahuan yang melampaui bidang penyelidikan atau
pengkhususan masing-masing. Sebagai pencinta ilmu, pensyarah perlu banyak
membaca, dan melibatkan diri dalam wacana intelektual dan majlis-majlis ilmu.
Adakah kita termasuk dalam kalangan akademik tersebut? Setiap pensyarah harus
mempunyai jawapan sendiri bagi persoalan ini.
Menjalankan penyelidikan
Bagi pensyarah universiti,
menjalankan penyelidikan merupakan satu daripada tugas utama. Dengan
menjalankan penyelidikan, pensyarah dapat mengemas kini ilmu masing-masing dan
menyumbang kepada perkembangan ilmu dan akademia. Penyelidikan juga merupakan
cara terbaik untuk melawan fenomena burnt-out.
Melalui persidangan atau seminar yang dihadiri, pensyarah dapat berkongsi hasil
penyelidikannya dengan rakan-rakan daripada bidang yang sama dan berpeluang
mengikuti perkembangan terbaharu yang merangsang diri masing-masing untuk
melakukan penyelidikan seterusnya. Tanpa kegiatan penyelidikan atau penyertaan
pada persidangan atau seminar akademik, akan menjadikan seseorang pensyarah itu
tertimbus dan tenggelam dalam dunianya sendiri. Dia tidak mengetahui tentang
perrkembangan yang berlaku di luar dunia kecilnya.
Penyelidikan mengambil banyak masa
pensyarah, selain tugas mengajar, memeriksa skrip, dan membimbing pelajar.
Tetapi jika kita dapat mengimbangi tugas penyelidikan dan pengajaran,
keuntungannya besar sekali kerana “scholarship
and research not only freshen and enliven the substance of teaching but also
set an example of the enquiring mind” (Cronin, 1999, hlm. 16).
Memiliki kebolehan berjenaka
Pensyarah yang baik menjalankan
tugasnya dengan serius, tetapi jenaka adalah baik untuk menghidupkan suasana
ikram ketika pengajaran dan perbincangan. Ramai pensyarah melaksanakan tugas
pengajaran dengan begitu serius sehingga suasana pengajaran dan pembelajaran
menjadi sangat formal. Suasana pengajaran dan pembelajaran patut diceriakan
dengan kebolehan pensyarah menyisipkan unsur jenaka dalam penyampaiannya, di
samping keriangan dan senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya. Jika pensyarah
itu berpendapat tugas pengajaran di universiti tidak menggembirakan, wajar
baginya mengambil cuti rehat (sabatikal) dan menggunakan masa berkenaan untuk
merenung tentang apa yang telah berlaku dan memutuskan apa yang terbaik bagi
dirinya.
Memiliki kebolehan menilai
pelajar
Pensyarah yang baik menyediakan
soalan-soalan peperiksaan dan tugasan yang menggalakkan pemikiran pelajar. Open-book exam merupakan satu cara yang
mencabar minda pelajar. Perancangan dan pelaksanaannya mungkin agak sukar,
tetapi hasilnya paling baik untuk pelajar. Pelajar universiti sebenarnya
mempunyai kebolehan dan keupayaan yang melebihi jangkaan kita. Yang penting
ialah pensyarah mesti percaya bahawa pelajar mampu menghadapi cabaran-cabaran
minda yang kita berikan. Ini merupakan cara terbaik untuk menghasilkan siswazah
yang berkualiti dan yang sesuai untuk menghadapi era k-ekonomi. Peperiksaan lisan juga merupakan satu cara lagi untuk
menguji kebolehan pelajar mengemukakan idea, tetapi jarang digunakan di
universiti ini. Sebenarnya, kepelbagaian teknik penilaian dapat mendorong
pelajar untuk mencapai kejayaan dalam kursus-kursus di universiti, di samping
dapat memperkayakan kualiti siswazah yang dihasilkan.
Daripada laporan yang dibuat oleh
Cronin (1999), seorang pensyarah di Duke University, iaitu Bruce Payne telah menggunakan
kaedah yang unik untuk menilai pelajarnya. Pada awal semester dia memberitahu
pelajarnya bahawa peperiksaan akhir bagi kursusnya akan diadakan pada tiap-tiap
minggu, bukan pada akhir kursus. Pada setiap hari Isnin dia memberikan sebanyak
15 soalan yang mencakupi bacaan bagi tajuk-tajuk yang akan diajarkan pada
minggu akan datang. Kemudian pada hari jumaat dia memulakan kelas dengan
mengemukakan soalan esei untuk dijawab dalam tempoh 15 hingga 20 minit tentang
topik yang telah dibincangkan dalam kuliah pada hari Isnin. Pelajar perlu
sentiasa bersedia dan memberikan tumpuan penuh pada pembelajaran dalam
kursusnya. Esei yang ditulis oleh pelajar ini ialah peperiksaan akhir bagi
kursus Payne. Bolehkah kita mencuba idea ini? Mampukah kita merancang kursus
sehingga kita pasti dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar kita?
Penutup
Sebagai penutup, saya akhiri
penulisan saya ini dengan menyatakan bahawa pensyarah agung ialah pensyarah
yang cintakan ilmu, khususnya ilmu dalam subjek pengkhususannya. Dia
menyampaikan ilmunya dengan penuh minat dan bersemangat, sentiasa peka dengan
keperluan pelajar dan merasa bertuah kerana dapat mengajar di universiti.
Pensyarah agung melihat pengajaran sebagai satu tanggungjawab, bukan sekadar
tugas atau jawatan. Jawatankuasa Perancangan Akademik USM sejak beberapa tahun
dahulu cuba
mencari jalan bagaimana menilai dan mengukur pengajaran yang baik. Kita masih
kabur tentang kriteria pengajaran yang baik. Dapatkah kita mendefinisi ‘pengajaran
yang baik dan berkesan’? Adakah penunjuk-penunjuk khusus untuk merumuskan
apakah pengajaran yang baik? Namun, kita sedar bahawa untuk mengajar dengan
baik di universiti, seseorang itu perlu mempunyai komitmen yang tinggi,
berdedikasi dan sentiasa didorong oleh keinginan yang berterusan untuk
menyebarkan ilmu kepada pelajar. Penyebaran ilmu pada peringkat ini tidak
seharusnya berlaku dengan “menyuap”
segala-galanya ke mulut pelajar, tetapi memerlukan penggunaan kemahiran belajar
yang berkesan. Demikian itu, pensyarah perlulah membuat persediaan yang teliti,
menyediakan perancangan yang tersusun serta menggunakan strategi yang inovatif
bagi meransang minda pelajar untuk menimba ilmu. Bagi membolehkan mereka menimba
ilmu secara berdikari dan berkesan, pelajar perlu dilatih dengan kecekapan
mencari ilmu dan menggunakannya.
Pengajaran yang berkualiti sangat
penting di universiti. Pensyarah baik patut mendapat anugerah atau hadiah. Pengajaran
yang berkualiti turut memerlukan sistem sokongan yang cekap. Pengurusan
universiti perlu mensyaratkan kemahiran mengajar sebagai kriteria penting dalam
pengambilan pensyarah-pensyarah baru. Sepatutnya tiada tolak ansur tentangnya
kerana kualiti ini tidak wujud dengan sendiri. Pensyarah-pensyarah baru perlu
diberikan pendedahan tentang perkaedahan pengajaran kursusnya. Universiti yang
mengutamakan pengajaran berkesan ialah universiti yang dapat menyuburkan
penghayatan ilmu yang disebarkannya.
Akhir kata, “Great teaching never just happens”. Pencapaian matlamat ini
memerlukan pengorbanan, komitmen dan penilaian berterusan untuk penambahbaikan
dan peningkatan, baik bagi diri pensyarah sendiri, mahupun bagi universiti yang
tercinta ini.
RUJUKAN
Cronin,
T.E. (1999). Excellence In Teaching. Whiteman College
webpage.
Eble,
K.E. (1983). The
Aims of College Teaching. San Fransisco: Jossey-Bass
Leslie,
C. (1990). A
Class of Freshmen That May Last A Lifetime.
Newsweek, April, hlm. 64.
Smith,
P. (1990. Killing
The Spirit: Higher Education In America. New
York: Viking
Rogers,
C.R. (1961). On Becoming
A Person. Boston:
Houghton Mifflin
Van
Doren, M. (1964). The Good Teacher. Dalam
College and University Teaching, H.A. Estrin & D.M. Goode (eds.). Dubuque. IA.